fbpx

Lelaki ditemukan lemas, terjatuh sungai ketika menjala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan tidak bernyawa selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan di Sungai Langat, Bandar Baru Bangi, di sini, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 9.58 malam hari kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah diaktifkan sejurus menerima laporan berkenaan.

“Selepas dua hari operasi dijalankan, pasukan penyelamat berjaya menemukan mayat lelaki berkenaan yang terapung sejauh 18 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh, sekitar pukul 10 malam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, mayat mangsa berusia 23 tahun dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam insiden ini.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes di talian 017-7102042 atau melaporkan di balai polis berhampiran. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI