DUNGUN – Penduduk mendakwa tidak mengetahui terdapat larangan daripada pihak berkuasa apabila Pantai Sura, di sini tetap menjadi lokasi ‘pesta’ mengutip kerang yang terdampar sejak Selasa lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, pesisir pantai terbabit tetap penuh dengan orang ramai untuk mengutip kerang sejak pukul 9 pagi.
Namun bilangan pengunjung sedikit berkurang berbanding kelmarin dan mereka rata-rata mendakwa tidak mengetahui terdapat larangan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan aktiviti itu.
Salah seorang pengunjung dikenali sebagai Ahmad Taufiq, 40, dari Kijal, Kemaman mendakwa tidak mengetahui larangan tersebut dan mahu mengutip kerang itu untuk mencari pendapatan tambahan.
“Saya tengok ramai orang sedang mengutip kerang sebaik tiba di Pantai Sura pada pukul 11 pagi tadi (semalam).
“Saya pun ikut sama kutip (kerang). Niat saya mahu cari duit tambahan jual pada harga RM10 bagi tiga kilogram (kg),” dakwanya ketika ditemui di Pantai Sura, di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung, Laili Alimi, 47, dari Pulau Serai, di sini pula mendakwa, dia mahu mengutip sedikit kerang bagi dimakan bersama keluarga.
“Kami jarang makan kerang sebab harganya mahal. Jadi mahu ambil sedikit sebagai sajian buat keluarga.
“Saya tidak tahu polis larang (kutip kerang) sebab jarang lihat dan baca berita serta akses media sosial,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir mengeluarkan larangan supaya orang ramai tidak mendekati pesisir pantai daerah ini termasuk Pantai Sura bagi semua aktiviti termasuk mengutip kerang.
Arahan itu demi keselamatan orang ramai memandangkan ombak besar setinggi 4.4 meter serta angin kencang selaju 60 kilometer sejam masih melanda perairan daerah tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan, Pantai Sura bagaikan pesta apabila dikerumuni orang ramai untuk mengutip kerang yang tiba-tiba terdampar di pesisir pantai itu setelah dibawa ombak besar. -KOSMO! ONLINE