PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 8 malam itu melibatkan seluruh kawasan di Perlis, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Amaran ribut petir juga melibatkan Kubang Pasu, Padang Terap dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Pulau Pinang pula hanya melibatkan Seberang Perai Selatan.
“Bagi Perak, amaran ribut petir melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Muallim, manakala di Pahang pula melibatkan Raub, Bentong dan Temerloh,” lapor MetMalaysia.
Keadaan sama juga dilaporkan melanda Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol di Negeri Sembilan, serta Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai di Johor.
Amaran sama turut diberikan di Sarawak yang melibatkan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. -KOSMO! ONLINE