SHAH ALAM – Sempena Tahun Melawat Selangor 2025, Fiesta Joran Selangor 2025 akan diadakan di Tasik Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 9 Februari depan.
Acara ini dijangka menarik lebih 500 peserta dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000, termasuk RM8,000 untuk juara, RM2,000 untuk naib juara, dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
Tasik ini dipilih kerana keunikan lokasinya dan kaya dengan pelbagai spesies ikan seperti patin, toman, lampan dan rohu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, berkata, ini merupakan kali pertama Tasik Fraser Valley dipilih sebagai lokasi acara.
Katanya, Fraser Valley merupakan salah satu produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk dipromosikan memandangkan ia menjadi kawasan penganjuran acara- acara interaktif seperti kembara RIUH, glamping dan banyak lagi.
“Ia juga diadakan bertujuan untuk mempromosi pelancongan dan ekonomi tempatan, terutamanya sempena Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.
Selain hadiah utama, peserta di kedudukan keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 setiap seorang, manakala tempat ke-11 hingga ke-30 akan mendapat RM150.
Bagi tempat ke-31 hingga ke-100 pula, peserta akan membawa pulang RM100 setiap seorang.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi urus setia di talian 013-266 7011. -KOSMO! ONLINE.