fbpx

FAMA tingkat pembelian kelapa tua dari Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, langkah proaktif itu juga untuk memastikan bekalan mencukupi bagi kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.

Jelas KPKM, FAMA kini dalam proses perundingan dengan pembekal baharu dan perundingan peningkatan pembelian dengan pembekal sedia ada di Indonesia.

“FAMA turut mengenal pasti kawasan pengeluaran kelapa di Sabah dan Sarawak untuk dibawa ke Semenanjung Malaysia.

“Anggaran jumlah kelapa yang akan di bawa masuk ke Semenanjung Malaysia sebanyak 500 tan metrik sebulan bermula Februari ini,” kata KPKM dalam satu kenyataan media hari ini.

KPKM berkata, usaha mengenal pasti kawasan baharu pengeluaran kelapa juga sedang diperluas dengan memberi perhatian kepada kawasan produktif di Sabah dan Sarawak.

Kata KPKM, projek AgroDefence pula akan memfokuskan penanaman kelapa di tanah milik Kementerian Pertahanan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman kelapa.

“Projek ini akan memanfaatkan tanah yang tidak digunakan secara optimum untuk pertanian bagi meningkatkan pengeluaran domestik kelapa.

“Pada masa sama, KPKM mengalu-alukan penyertaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menceburi industri ini,” kata kenyataan itu.

KPKM berkata, petani dan usahawan yang berminat untuk mengusahakan tanaman kelapa diminta menghubungi Jabatan Pertanian untuk khidmat nasihat teknikal berkaitan.

KPKM juga menyeru pekebun kecil kelapa di semua daerah menghantar dan mengumpulkan hasil tanaman kelapa di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian yang dikelola oleh FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

“Ini bagi akses pasaran yang lebih luas dan menjamin harga jualan yang kompetitif bagi pekebun kecil,” kata KPKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI