PETALING JAYA – Sebanyak 30 kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Anti-Litter di sekitar kawasan komersial di Jalan Berangan, Bukit Bintang di ibu negara semalam.
Menurut DBKL, antara kesalahan dikesan meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah di tempat awam dan longkang serta menghalang longkang dengan sisa dan barang hingga menjejaskan aliran air.
“Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d), tujuh kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d), 11 kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a), dan dua kompaun di bawah Seksyen 46(1)(b)
“Kesemua seksyen ini adalah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” kata DBKL dalam satu kenyataan di muat naik di Facebook hari ini.
Dalam hantaran berasingan, DBKL memaklumkan menyita barangan perniagaan termasuk tujuh skuter elektrik yang ditinggalkan di tempat awam di sekitar Segambut pada 14 Januari lalu.
Kata DBKL, satu notis kompaun turut dikeluarkan kepada penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Kepada pemilik premis di luar sana, tahap kebersihan di premis anda melambangkan imej perniagaan anda. Ambillah tanggungjawab ini dengan serius. Jangan biarkan sikap sambil lewa membawa kesan negatif kepada perniagaan anda dan imej bandar ini,” kata DBKL. – KOSMO! ONLINE