KUALA LUMPUR – Indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 melayakkan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dinaikkan pangkat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, BMI itu merupakan syarat tambahan ditetapkan pada dalam pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat.
“Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat diperketatkan dengan syarat tambahan yang berkehendakkan BMI mana-mana anggota atau pegawai berada pada paras kurang dari 28.
“Inisiatif ini bagi memastikan kesihatan serta ketrampilan pegawai polis dalam melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Ujarnya, proses pemangkuan pangkat dalam PDRM turut diperkukuhkan agar lebih telus, adil dan memberi peluang yang sama rata kepada setiap warga pasukan yang berkelayakan.
Sehubungan itu, dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM telah diperkenalkan bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih efisien.
“Proses pemangkuan pangkat dipertingkatkan menerusi pelaksanaan penilaian e–Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT) bermula tahun ini.
“Ia bertujuan mengekang isu pilih kasih, tohmahan dan memastikan pemilihan calon yang sesuai, kompeten serta berkelayakan,” ujarnya.
Razarudin berkata, pelaksanaan dasar pemangkuan pangkat Asisten Superintendan (ASP) ke Deputi Superintendan (DSP) sedang dilaksanakan bagi memenuhi 254 kekosongan perjawatan DSP pada tahun ini.
“Menerusi jalinan kerjasama strategik PDRM dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya melahirkan warga PDRM yang profesional dan berkredibiliti tinggi menerusi program pengajian berteraskan elemen kepolisan.
“Kolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Program Sarjana Sains Sosial diperkasakan melalui pengoptimuman impak keberhasilan program dengan penambahan bilangan peserta setiap kohort kepada 40 Pegawai Kanan Polis dan tempoh pengajian disingkatkan kepada 12 bulan sahaja,” katanya.
Jelas beliau, PDRM turut meneroka sinergi baharu bersama Universiti Malaya (UM) menerusi Program Sarjana Pengadilan Jenayah bermula Mac tahun ini selama 18 bulan melibatkan seramai 30 peserta yang terdiri daripada 29 Pegawai Kanan PDRM dan seorang peserta dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“PDRM juga komited dalam meningkatkan tahap akademik warga Pegawai Rendah Polis, apabila pada tahun ini seramai 1,350 konstabel percubaan akan mengikuti Program MQA PLAK.
“Ia melibatkan empat program diploma iaitu Diploma Pengurusan Kepolisan, Diploma Siasatan Kepolisan, Diploma Keselamatan dalam Negeri dan Diploma Perisikan Keselamatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.