LONDON – Arsenal mungkin kembali ke pasaran perpindahan kali ini apabila terpaksa mendapatkan pemain gantian selepas penyerang mereka, Gabriel Jesus mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang memaksanya berehat panjang.
Ketiadaan Jesus memberi tamparan hebat kepada skuad The Gunners yang kini terpaksa mempercepat usaha membawa masuk penyerang baharu.
Kecederaan tersebut berlaku dalam aksi Piala FA menentang Manchester United di Emirates pada Ahad lalu apabila Jesus yang memulakan perlawanan, dikeluarkan seawal minit ke-40 dan digantikan oleh Raheem Sterling.
Susulan kecederaan Jesus, Arsenal telah menyenaraikan dua pemain sebagai sasaran utama dengan penyerang Juventus, Dusan Vlahovic menjadi pilihan utama untuk dipinjam.
Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini hampir menyertai Arsenal pada 2022 sebelum memilih untuk berhijrah ke Juventus dengan nilai £66.6 juta (RM364.96 juta).
Sepanjang bersama kelab Turin, penyerang Serbia itu telah menjaringkan 53 gol dalam 124 penampilan sekali gus menjadikannya pilihan ideal untuk memperkukuh barisan serangan Arsenal.
Selain itu, The Gunners turut mengintai penyerang Marseille, Elye Wahi yang semakin menyerlah musim ini selepas pemain muda berusia 21 tahun itu telah mencatatkan tiga gol dan satu bantuan gol dalam 14 penampilan. – AGENSI