fbpx

Anak seni dan pendidikan: Memecah stereotaip melalui ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haris (tengah) menerima cenderamata daripada Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan disaksikan Prof. Madya Dr. Adzrool Idwan Ismail, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).

MENJADI anak seni adalah mudah tetapi menjadi yang berilmu itu memerlukan satu pengorbanan, tetapi pada masa sama perlu menjadi satu keperluan diutamakan.

Apatah lagi ketika ini segelintir selebriti dan pempengaruh secara terang-terangan mempersoal kepentingan menguasai ilmu atau belajar tinggi-tinggi dalam menjana pendapatan sebagai anak seni atau penggiat digital.

Terpanggil dengan perkara itu membuatkan penerbit, pengarah dan juga pelakon, Datuk Haris Embong, 47, membulatkan tekad untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD), sekali gus membuktikan bahawa pendidikan tidak mengenal batas usia.

Beliau mengumumkan keputusannya untuk menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Utara Malaysia, Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) sebagai satu langkah yang mencerminkan aspirasi peribadi dan memberi inspirasi kepada industri seni tanah air.

Bagi beliau, pengajian di peringkat PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi satu langkah strategik untuk membawa industri kreatif dan seni Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Saya kecewa apabila ramai selebriti muda menolak pendidikan. Perlu diingat, tidak selamanya kita akan menjadi selebriti.

“Hidup ini seperti roda, ada kala di atas, ada kala di bawah. Sekurang-kurangnya dengan ilmu, apabila diri tidak lagi menjadi bualan di mulut peminat, boleh menceburkan diri dalam kerjaya lain.

“Justeru itu, walaupun sudah di usia ini, saya tetap mencari ilmu. Bukan sekadar ilmu seni tetapi juga mengenai pengurusan, pemasaran dan penjenamaan,” katanya.

Duta seni

Tambahnya, pendidikan memberi kredibiliti kepada artis sebagai duta seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Artis yang berpendidikan tinggi sering diberi peluang untuk menyertai persidangan, festival, dan pameran seni global. Ini membuka ruang untuk Malaysia dikenali sebagai hub seni bertaraf dunia.

Haris (duduk) menandatangani buku kehadiran tetamu disaksikan Naib Canselor UUM, Mohd. Foad (kanan), Adzrool (kiri), Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan Fadzil Mohd. Husin (paling kiri), Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawan Siswa, UUM.

“Pendidikan membantu artis memahami trend global dan teknologi terkini, menghasilkan karya seni yang mampu menyaingi produksi antarabangsa.

“Dengan lebih ramai artis berpendidikan tinggi, Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia bahawa seni di negara ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk intelektualisme yang dihormati,” katanya.

Beliau optimis bahawa pendidikan membolehkan artis menghasilkan karya yang memenuhi citarasa antarabangsa sambil mengekalkan elemen budaya tempatan. Filem dan drama Malaysia berpotensi untuk bersaing di platform seperti Festival Filem Cannes atau Oscars.

“Pendidikan tinggi dalam seni dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berpengetahuan luas. Mereka ini mampu memperkasakan seni Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada naratif global,” katanya.

Langkah Haris untuk menyambung pengajian di peringkat PhD adalah manifestasi keyakinan bahawa pendidikan dan seni adalah pasangan ideal untuk membawa perubahan.

Pendidikan bukan sahaja memperkasakan artis dari segi intelektual, tetapi juga menjadi alat untuk meningkatkan standard industri seni Malaysia ke tahap global.

Dengan pendidikan, seni Malaysia berpotensi menjadi duta budaya yang menjulang nama negara, membuka peluang baru di peringkat antarabangsa, dan memberi impak positif kepada ekonomi kreatif negara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI