SELESAI menyempurnakan misi konsert jelajah Imaji Tour di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai lokasi terakhir, perasaan Aina Abdul bercampur baur, separuh gembira separuh lagi sebak.
Di dadanya, sudah ada rindu berkelopak, yang pasti, dia pasti merindui suasana bersama peminat setelah mengumumkan tempoh rehat daripada menganjurkan konsert solo tahun ini .
Rasa rindu itu hadir sebaik sahaja dia menamatkan persembahan bersaksikan sekitar 2,000 peminat hujung minggu lalu.
“Selesai konsert, rasa rindu itu terus menjelma. Sebenarnya Imaji Tour merupakan impian saya sejak dari dahulu, terutama ketika mengeluarkan album Imaji pada 2023.
“Saya pernah cakap kepada pihak pengurusan untuk mengadakan konsert jelajah kerana di Malaysia, sukar untuk keluarkan album pada zaman ini.
“Jadi, apabila sudah keluarkan album, saya cabar diri realisasikan siri jelajah. Alhamdulillah, Allah beri rezeki buat persembahan di tiga lokasi bawah anjuran Aina Abdul Entertainment dan Altus Prohouse.
Rindu
“Memang susah tetapi Tuhan sentiasa tunjukkan jalan. Jadi, kalau ditanya kepada saya macam mana rasanya setelah konsert jelajah selesai, sebenarnya saya sudah terasa rindu,” katanya usai konsert.
Setakat ini, tempoh rehat Aina daripada menganjurkan konsert solo masih belum ditetapkan.
“Saya tak tahu berapa lama tempohnya sama ada setahun atau dua tahun untuk kembali mengadakan konsert solo. Dalam tempoh itu, saya mahu mengasah lagi komposisi muzik serta mencari ‘bunyi-bunyian’ lain yang boleh dikeluarkan.
“Sebenarnya saya sedang giat menulis untuk album kedua dan itulah juga antara faktor yang menyebabkan saya berehat seketika daripada konsert solo,” katanya.
Ditanya bilakah album tersebut akan dikeluarkan, Aina sendiri tidak pasti memandangkan tempoh menggubah dan menyusun lagu dalam album pertamanya sebelum ini juga mengambil masa sekitar setahun.
“Saya tak mahu terkejar-kejar melahirkan album kedua kerana banyak benda yang dipelajari dalam album pertama,” katanya.
Bercakap mengenai proses berkarya, Aina mengakui adakalanya dia sentiasa berpesan kepada diri untuk cuba menghasilkan karya bersifat ‘simple’ berbanding sebelum ini.
Namun jiwanya sendiri seperti ‘orang lama’ kerana membesar dengan lagu-lagu bersifat berat, menjadikan karya-karyanya seperti yang pernah dinikmati peminat selama ini.
“Lagu-lagu saya mungkin tidak sesuai untuk generasi lebih muda tetapi tak mengapalah kerana saya percaya dengan kuasa yang ada pada muzik.
“Pada akhirnya ini tentang mesej yang ingin ketengahkan. Sama ada lagu itu berat atau tidak, pasti ada jalan untuk pendengar ‘berhubung’ dengan saya.
“Sebabnya, kita masing-masing punya hati dan saya berharap, lagu-lagu saya akan ‘merantau’ jauh, melangkaui faktor usia,” katanya.