KUALA LUMPUR – Peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, kanser, dan penyakit jantung dikalangan pekerja kini agak membimbangkan dan perlu dibendung.
Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata, analisis Program Saringan Kesihatan Perkeso sehingga Disember lalu mendapati 59.75 peratus pekerja dikesan mempunyai kolestrol tinggi.
Katanya, ia diikuti 23.15 peratus pekerja mengalami obesiti, diabetes (19.39 peratus) dan hipertensi (19.66 peratus).
“Sebanyak 0.38 peratus pekerja yang menjalani saringan didapati menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Dialisis Perkeso di sini, hari ini.
Ujarnya, ini menunjukkan keperluan segera untuk meningkatkan kesedaran terhadap gaya hidup sihat.
Subahan berkata, polemik ini sememangnya memberi impak besar kepada individu yang menghidapinya, tetapi juga membebankan sistem kesihatan dan ekonomi negara.
“Perkeso komited dalam membantu pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang melalui penubuhan pusat dialisis sendiri yang menawarkan rawatan berkualiti setaraf pusat swasta pada kos berpatutan,” katanya.
Menurut Subahan, kos tanggungan rawatan dialisis dijangka melebihi RM0.5 bilion menjelang 2030.
Bagaimanapun, beliau menegaskan inisiatif ini penting bagi meringankan beban kewangan Orang Berinsurans (OB) serta mengurangkan perbelanjaan peribadi pesakit.
Dalam usaha mencegah peningkatan kes NCD, beliau mengingatkan pekerja di sektor awam dan swasta untuk menjaga pemakanan serta mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kita perlu bijak memilih makanan berkhasiat, mengelakkan gula, garam dan lemak berlebihan. Langkah ini boleh mengurangkan risiko penyakit kronik yang turut mempengaruhi produktiviti kerja,” ujarnya.
Subahan turut menyeru pekerja menjalani saringan kesihatan secara berkala bagi mengenal pasti masalah kesihatan lebih awal.
“Pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma bagi pencarum yang berumur 40 hingga 59 tahun, untuk memastikan kita semua kekal sihat dan produktif,” katanya. – KOSMO! ONLINE.