BANGKOK – Thailand diramal mengalami cuaca sejuk sehingga pertengahan Februari ini berikutan sistem tekanan tinggi baharu yang kuat dari China, lapor laman berita The Nation kelmarin.
Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) meramalkan cuaca sejuk dan kabus di kawasan utara, timur laut dan tengah berlaku pada Selasa (semalam) sehingga Rabu (hari ini).
“Cuaca dijangka sejuk meskipun sistem tekanan tinggi semasa yang meliputi bahagian atas Thailand dan Laut China Selatan semakin lemah.
“Cuaca sejuk pada sebelah pagi juga diramalkan berlaku di timur dan selatan, termasuk Bangkok dan kawasan sekitarnya,” kata TMD.
Pada sama sama, hujan lebat terpencil dan ombak setinggi dua meter dijangka membadai di wilayah paling selatan Thailand susulan Monsun Timur Laut.
“Sistem tekanan tinggi baharu yang kuat dari China akan meliputi bahagian atas utara Thailand dan Laut China Selatan bermula Khamis hingga Sabtu ini dengan membawa suhu rendah dan angin kencang ke wilayah itu,” tambah TMD.
Monsun Timur Laut boleh membawa hujan petir dan hujan lebat terpencil ke bahagian bawah selatan dengan angin dijangka mencapai ketinggian dua hingga tiga meter.
Walaupun sistem tekanan tinggi baharu itu dijangka lemah antara 19 hingga 27 Januari, TMD meramalkan cuaca sejuk akan berterusan di seluruh negara sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Februari.
TMD turut meramalkan ketibaan awal musim hujan berikutan fenomena cuaca La Nina, walaupun purata hujan lebih rendah berbanding hujan lebat yang dialami pada Jun tahun lalu. – AGENSI