PETALING JAYA – Sri Wahyuni Rahman, ibu kepada arwah Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan, menyentuh hati ramai apabila memberikan susu simpanan arwah anaknya kepada Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis, seorang bayi yang baru kehilangan ibunya.
Menerusi hantaran di Instagram, Wahyuni dan suaminya bertemu bayi berusia dua bulan itu bersama bapanya.
“Alhamdulillah, Allah pertemukan kami. Faleeq baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia dalam tidur. Susu Handzalah kini milik Faleeq,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Wahyuni, yang baru kehilangan anak bongsunya berusia empat bulan selepas maut di sebuah taska tanpa lesen, turut mendoakan agar Faleeq membesar menjadi anak yang soleh.
“Ibu doakan semoga awak membesar menjadi anak yang soleh dan patuh ya. Muka pun nak dekat sama dengan Handzalah,” luahnya penuh sayu.
Dia turut memuat naik gambar arwah Handzalah dengan kapsyen “Selamat malam sayang ibu,” di dalam gambar tersebut seolah-olah meluahkan rasa rindu yang terbuku.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kematian seorang bayi, Khairul Handzalah Sufi, di sebuah taska haram di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, baru-baru ini.
Selain itu, Kosmo! turut melaporkan kisah pilu seorang wanita yang meninggal dunia dalam pangkuan suaminya selepas menyusukan bayi mereka yang berusia dua bulan, Muhammad Faleeq Haq Amirul Nafis. – KOSMO! ONLINE