SEPANG – Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Mohamed Najeeb Abdullah cukup bangga terhadap kejayaan luar biasa skuad boling negara dalam Piala Dunia IBF baru-baru ini.
Mohamed Najeeb berkata, pihak MTBC sebagai badan induk akan berusaha mencari cara terbaik untuk memberi penghargaan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara.
“Ini sesuatu yang agak sedih jugaklah, namun MTBC akan berusaha untuk menghargai pengorbanan atlet boling ini.
“InsyaAllah, kami cuba dapatkan sesuatu (ganjaran) untuk kejayaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Skuad Tenpin Boling Negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.
Sebagai rekod, Kejohanan Piala Dunia IBF tidak tersenarai dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), menyebabkan atlet dan jurulatih tidak layak menerima insentif kewangan.
Namun, terdapat satu pengiktirafan istimewa menanti Natasha Roslan, yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai atlet wanita pertama negara memenangi Piala Dunia IBF.
Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok, MBOR akan menyampaikan sijil penghargaan kepada Natasha dalam satu majlis khas sebagai tanda penghormatan atas pencapaiannya yang luar biasa.
“Kejohanan Piala Dunia tidak berada dalam senarai Shakam jadi atlet dan jurulatih tidak menerima apa-apa ganjaran dalam bentuk wang apabila menang.
“MSN (Majlis Sukan Negara) hanya membenarkan untuk memilih dua kejohanan untuk skim Shakam, satu di peringkat dunia dan satu Asia.
“Jadi bagi peringkat dunia MTBC memilih Kejohanan Dunia dan di Asia adalah Kejohanan Asia,” katanya. – KOSMO! ONLINE