KUALA LUMPUR – Hanya dengan caj serendah RM1,500 sehingga RM3,200 seorang, pendatang asing tanpa izin (PATI) dari dua negara dipercayai mampu memasuki dan keluar Malaysia dengan menggunakan jalan laut sekitar Banting, Selangor.
Kegiatan penyeludupan migran iitu berjaya ditumpaskan menerusi operasi khas dilaksanakan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Dalam Operasi Pintas, polis menyasarkan sebuah rumah transit sindiket di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, fokus operasi adalah berkaitan elemen kesalahan melibatkan penyeludupan migran yang dipercayai keluar dan masuk dari Malaysia ke Indonesia dan dari Indonesia ke Malaysia.
Katanya, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam itu berjaya menahan seramai 27 individu termasuk 20 warga Indonesia dan tujuh warga Myanmar.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita warga Indonesia serta lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia antara 21 dan 54 tahun.
“Antara yang ditahan adalah tiga suspek utama iaitu seorang wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga rumah transit dan dua lelaki warganegara sama yang berperanan sebagai pembantu penjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, sindiket berkenaan menyediakan tempat tinggal sementara dan makanan kepada migran sebelum mereka dibawa masuk atau keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan iaitu jalan laut di Banting, Selangor.
“Caj yang dikenakan kepada migran yang dibawa masuk bermula antara RM1,500 hingga RM3,200 seorang.
“Rumah transit itu didapati disewa oleh sindiket dengan caj RM30 sehari bagi setiap migran yang menginap di situ,” ujarnya.
Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE.