IPOH – Seramai empat ahli sindiket penipuan penjualan nombor pendaftaran kenderaan tidak wujud secara dalam talian diberkas polis menerusi serbuan yang dijalankan di tiga buah negeri antara 10 Januari hingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek berkenaan terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 27 hingga 52 tahun.
Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan di Gemencheh, Negeri Sembilan; Setapak, Kuala Lumpur dan Langkawi, Kedah.
“Turut dirampas semasa serbuan adalah lima unit telefon bimbit, tujuh keping kad mesin juruwang automatik (ATM), dua unit komputer dan dua unit printer yang dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan ini.
“Ahli sindiket yang ditangkap berperanan sebagai ketua sindiket, pekerja mencari pelanggan, pencari pemilik akaun yang berminat untuk menyewakan akaun bank dan juga pembuat nombor plat kenderaan yang ditempah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zulkafli berkata, selain di Perak, sindiket itu juga didapati telah memperdaya beberapa mangsa lain di Selangor, Kedah dan Johor.
Katanya, berdasarkan semakan, nama syarikat dan nombor akaun yang digunakan oleh sindiket ini, didapati terlibat dalam lapan laporan polis dengan nilai kerugian berjumlah RM71,400.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya. Kesemua suspek telah direman sehingga 17 Januari 2025 untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pada 8 Januari lalu kira-kira pukul 12.50 tengah hari, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar telah menerima laporan daripada seorang lelaki Cina berumur 22 tahun yang mendakwa telah ditipu dalam urusan pembelian nombor pendaftaran kenderaan melalui platform Facebook.
Katanya, pengadu telah tertarik dengan satu nombor pendaftaran kenderaan yang telah diiklankan dengan harga RM2,000.
“Sebagaimana yang telah diarahkan oleh sindiket, pengadu membuat pembayaran deposit sebanyak RM1,000 ke akaun diberikan. Selepas pembayaran dibuat, pengadu gagal menerima sebarang jawapan dan panggilan pengadu juga disekat.
“Pengadu hanya menyedari dirinya telah ditipu apabila membuat semakan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh dan mendapati nombor pendaftaran tersebut didaftarkan atas nama individu lain,” katanya.
Zulkafli berkata, semakan mendapati nama syarikat yang digunakan oleh sindiket berkenaan adalah tidak wujud dan tidak berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Justeru, beliau meminta agar masyarakat tidak tergesa-gesa dalam membuat pembayaran bagi pembelian sesuatu barangan dalam talian.
“Mana-mana pihak yang ingin membuat tempahan pembelian nombor pendaftaran kenderaan yang ditawarkan secara dalam talian, sila buat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa JPJ,” katanya. – KOSMO! ONLINE