ALOR SETAR – Hasil bedah siasat ke atas satu mayat yang ditemui di tebing Sungai Kedah di Alor Mengkudu, dekat sini kelmarin mendapati punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, perkara itu berikutan keadaan mayat yang dikaitkan dengan misteri kehilangan seorang wanita pada 8 November tahun lepas telah mereput.
“Hasil bedah siasat adalah uncertained (tidak dapat dipastikan) kerana mayat mereput. Kita kini menunggu laporan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) dari makmal kimia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani Saad, 37, dari Kampung Kuala Lanjut, Pendang dekat sini selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris pada 8 November lepas.
Wanita itu dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, di sini pada pagi hari kejadian.
Waris kepada wanita berkenaan dipanggil untuk proses pengecaman dan menjalani proses perbandingan DNA bagi mengenal pasti identiti mayat tersebut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam. – KOSMO! ONLINE