DUNGUN – Pantai Sura di sini bagaikan pesta apabila dikunjungi ratusan penduduk seluruh daerah ini dan kawasan sekitar untuk mengutip ribuan kerang yang terdampar sejak semalam.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati orang ramai bersama ahli keluarga masing-masing membawa peralatan termasuk sauk dan baldi untuk mengutip kerang seawal pukul 7. 30 pagi.
Seorang penduduk, Tengku Ahmad Amirul Tengku Hazaid, 22, berkata, lambakan kerang terdampar ke pesisir Pantai Sura adalah fenomena biasa setiap musim tengkujuh ekoran air pasang besar dan sememangnya ditunggu-tunggu penduduk.
“Saya antara orang terawal menyedarinya pada awal pagi semalam sebelum mula mengutipnya menggunakan penyauk,” katanya ketika ditemui di Pantai Sura di sini hari ini.
Tengku Ahmad Amirul berkata, setakat ini, dia berjaya mengutip enam guni kerang dan sebahagiannya turut dibahagikan kepada pengunjung lain bagi sama-sama merasa makanan laut berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Zainun Sai, 63, berkata, dia dan enam ahli keluarga sanggup datang dari Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman sejauh lebih 50 kilometer untuk mengutip kerang itu.
Menurutnya, mereka berjaya mengutip lebih 60 kilogram kerang untuk dibawa pulang.
Dalam pada itu, anggota polis dan bomba dilihat berkawal memantau orang ramai yang leka mengutip kerang tersebut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. – KOSMO! ONLINE