SHAH ALAM – Seorang Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari atas pertuduhan menerima wang RM3,500 bagi kerja-kerja naik taraf rangkaian sistem komputer, enam tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz, 50, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Nor Hasyimah yang merupakan ibu kepada empat anak itu didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM3, 500 melalui akaun bank miliknya tanpa balasan daripada seorang kontraktor lelaki berusia 54, yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat MBDK.
Kesalahan itu dibuat di sebuah cawangan bank di Seksyen 23, Jalan Kapar, Klang dekat sini pada 9 Mei 2019.
Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10, 000 bersama seorang penjamin bersama syarat tambahan melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam V. Ayasamy mewakili tertuduh ketika mitigasi memohon jaminan sebanyak RM5, 000 dengan empat anaknya masih belajar termasuk di Jerman.
“Kami juga mohon jaminan dalam bentuk wang sahaja dengan tertuduh bekerja di MBDK. Malah tiada bukti dikemukakan tertuduh akan melarikan diri daripada pertuduhan ini.
“Jika dilihat dari pertuduhan RM3,500 sahaja yang merupakan satu jumlah yang kecil. Jadi, jaminan tidak sepatutnya berbentuk hukuman,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8, 000 bersama seorang penjamin serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat.
Sebutan semula kes ditetapkan 5 Mac depan. – KOSMO! ONLINE