fbpx

‘Mula-mula kaki kebas, tak sangka hidap kanser’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Atikah perlu dibantu ibunya dalam urusan harian selepas menghidap kanser limfoma sejak November tahun lalu.

ALOR SETAR – Suatu ketika dahulu, Nur Atikah Yusri cukup cergas dalam melaksanakan tugasan harian sebagai pencipta kandu­ngan, namun kini ibu dua anak itu hanya mampu terbaring selepas menghidap kanser limfoma.

Nur Atikah, 27, berkata, masalah kesihatannya bermula apabila kakinya sering merasa kebas dan lemah sehingga akhir­nya tidak boleh berjalan sejak 25 November tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan doktor menemukan kelenjar pada leher sebelum dia disahkan meng­hidap kanser limfoma.

“Saya tak sangka rasa kebas di kaki hingga menyebabkan saya tidak berjalan ini sebenarnya berpunca daripada kanser.

“Doktor memaklumkan, saya perlu menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal di rumahnya dekat Lorong Seri Kota di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika ini segala urusannya perlu dibantu suami, Mohd. Ammar Abdul Wahab, 30, dan ibu, Rosliza Mutalib yang tinggal serumah dengannya.

Dia juga mengakui diuji de­ngan kesempitan kewangan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dengan pendapatan cuma RM40 sehari.

“Ada kalanya dia tidak dapat bekerja jika perlu membawa saya ke hospital.

“Selain itu, perbelanjaan kami banyak ditampung oleh pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial sebanyak RM700 sebulan diterima ibu setelah ayah meninggal dunia pada 2015 akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Katanya, rawatan kanser memerlukannya berada di wad untuk tempoh yang lama dan dalam tempoh itu, banyak belanja terpaksa dikeluarkan.

“Saya juga disarankan mengambil susu khas, namun tidak berbuat demikian kerana harganya yang mahal,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB bernombor 7614128685 atau menghubungi Nur Atikah di talian 014-5638458.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI