NILAI – Pelumba muda negara, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam terus mengukuhkan status sebagai pelumba terbaik tanah air ketika ini selepas muncul juara acara dalam acara scratch pada Siri 1 Kejohanan Piala Presiden 2025, sebentar tadi.
Khairunnisa yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 tersebut menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi cabaran pelumba Korea dan Singapura dalam perlumbaan sengit di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui bahawa kemenangan tersebut adalah hasil daripada persiapan intensif selama dua bulan untuk memastikan peluangnya untuk muncul juara mampu direalisasikan.
“Perlumbaan hari ini di luar jangkaan saya kerana saya hanya mencuba sebaik mungkin untuk melepaskan diri. Dalam 20 pusingan terakhir, saya mengambil peluang untuk menggunakan kekuatan yang ada.
“Walaupun pecabar yang lain meningkatkan kelajuan, saya terus meningkatkan kayuhan saya kerana ini adalah peluang terbaik saya untuk mencipta kemenangan di sini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.
Khairunnisa turut berharap dengan kemenangan tersebut dia mampu melakukan lebih baik menjelang Siri 2 yang berlangsung pada Sabtu ini nanti.
“Saya sasar untuk menang sekali lagi dan wajib adalah acara omnium. Namun, ia bergantung kepada strategi jurulatih nanti,” kata Khairunnisa yang baru setahun berada dalam program pelapis kebangsaan. -KOSMO! ONLINE