KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat pelancongan berlesen yang dilaporkan gagal menerbangkan seramai 314 jemaah umrah ke Tanah Suci semalam.
Motac dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu disarankan untuk menunaikan tempahan jemaah sedia ada yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual penerbangan yang sudah dipersetujui.
“Syarikat terbabit juga diarahkan untuk memulangkan wang kepada jemaah yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah.
“Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu,” kata Motac.
Katanya, semua syarikat pelancongan yang terlibat dengan industri umrah mestilah jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan mereka, khususnya berkenaan dengan apa yang ditawarkan dalam pakej.
“Isu-isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri ini, memandangkan Motac sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.
“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melakukan sebarang pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992,” tegas Motac.
Katanya, mana-mana jemaah yang terlibat dengan aduan itu boleh membuat laporan polis di balai polis berdekatan.
“Selain itu, jemaah boleh membuat aduan rasmi kepada pihak Motac melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa), Motac di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” jelas kenyataan itu.- KOSMO! ONLINE