KANGAR – Seorang imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan RM26,300 sebagai upah memproses pendaftaran perkahwinan luar negara antara 2022 hingga 2023.
Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53, yang juga Penolong Pendaftar Nikah membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima tujuh suapan berasingan iaitu wang tunai antara RM3,000 hingga RM4,700 sebagai upah memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang tidak mengikut prosedur di bawah Enakmen 7 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah bank di Kuala Perlis, dekat sini antara 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa SPRM, S. Sujatha memohon ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Walau bagaimanapun, peguam tertuduh, Ariff Azamin Hussein mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 memandangkan tertuduh memiliki sembilan cahaya mata dan hanya memperoleh elaun imam sebanyak RM850 sebulan serta menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Mahkamah seterusnya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM.
Mohd Isa membayar wang jaminan dikenakan. – KOSMO! ONLINE