fbpx

Hampir 300 pasangan Malaysia nikah di Siam sepanjang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan Malaysia yang berkahwin di Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand kelmarin.

NARATHIWAT, THAILAND – Hampir 300 pasangan dari Malaysia yang mendaftar dan berkahwin di Majlis Agama Islam Narathiwat di sini sepanjang tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, jumlah keseluruhan yang didaftarkan berkahwin di Narathiwat pada tahun lalu adalah seramai lebih 600 pasangan merangkumi pasangan dari wilayah tersebut.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan bahawa hampir separuh pasangan dari Malaysia berkahwin di Majlis Agama Islam Narathiwat sepanjang 2024.

“Kebiasaannya, pasangan dari Malaysia berkahwin di sini berusia dalam lingkungan 40-an hingga 60-an. Selain itu, 60 peratus daripada hampir 300 pasangan itu datang untuk berpoligami.

“Baki 40 peratus pasangan itu pula terdiri daripada individu yang masih bujang, janda dan duda.

“Daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu, pasangan dari Kelantan dan Terengganu paling ramai berkahwin di Narathiwat. Saya merasakan bahawa lokasi kedua-dua negeri itu yang hampir dengan Selatan Thailand menyebabkan mereka memilih untuk berkahwin di sini ,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Agama Islam Narathiwat di sini kelmarin.

Abdul Aziz memberitahu, seramai 30 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai agama Islam dan imam-imam masjid dilantik oleh Majlis Agama Islam Narathiwat sebagai kadi untuk di Wilayah Selatan Thailand.

Menurutnya, lantikan kadi itu untuk memudahkan dalam setiap urusan akad nikah bagi masyarakat di wilayah tersebut yang terdiri daripada majoriti yang beragama Islam.

Mengenai prosedur perkahwinan bagi pasangan dari Malaysia, beliau berkata, sekiranya pengantin perempuan itu merupakan janda yang bercerai, pihak majlis agama mewajibkan mereka membawa surat cerai sah dari jabatan agama negeri sebelum melangsungkan perkahwinan.

Menurutnya, akad nikah dan perkahwinan tidak akan dilangsungkan sekiranya tiada surat atau dokumen sah yang mengatakan pasangan wanita itu bercerai.

“Akad nikah di Majlis Agama Islam Narathiwat dijalankan sekiranya pasangan itu membawa dokumen sah yang mengatakan bahawa mereka lebih dua marhalah dari Narathiwat untuk menggunakan wali hakim.

“Bagaimanapun, lebih baik sekiranya pasangan wanita membawa wali mereka dari Malaysia. Kebanyakan pasangan membawa wali sendiri untuk memudahkan urusan akad nikah di sini,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, prosedur untuk berkahwin di sini hanya memerlukan kos sebanyak lebih daripada RM1,000 untuk setiap pasangan ia termasuk segala sijil dan dokumen yang dikeluarkan selepas perkahwinan.

Menurutnya, bagaimanapun, perkara mengenai kos itu subjektif kerana ia melibatkan pihak lain terutamanya ejen nikah yang menguruskan pasangan dari Malaysia untuk berkahwin di sini.

“Perkara mengenai harga atau kos untuk berkahwin di sini agak sensitif kerana ia melibatkan banyak pihak. Kita juga faham ejen dan pihak lain mencari rezeki untuk membawa pasangan dari Malaysia.

“Cuma, kebiasaan kos yang ditetapkan di sini adalah sebanyak lebih RM1,000. Apabila ia diuruskan oleh pihak lain, kosnya akan bertambah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Narathiwat juga tidak akan menikahkan pasangan terutamanya pengantin perempuan bawah umur iaitu kurang daripada 17 tahun.

Menurutnya, selaku pihak yang berautoriti dalam hal ehwal agama di Wilayah Selatan Thailand, pihaknya tidak mahu bertanggungjawab atau mengambil risiko untuk mengahwinkan pasangan bawah umur.

“Pernah berlaku kes pasangan bawah umur dari Kelantan berkahwin di sini tidak lama dahulu dan ia memberi impak negatif kepada Majlis Agama Islam yang sememangnya memperjuangkan hak-hak dalam Islam.

“Jadi, kami memgambil keputusan untuk tidak akan menerima pasangan bawah umur terutamanya dari Malaysia untuk berkahwin di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Imam Masjid Sungai Golok, Abdul Rahman Yusof berkata, beliau yang dipertanggungjawabkan sebagai kadi di Sungai Golok juga tidak akan menikahkan pasangan bawah umur dari Malaysia.

Menurutnya, bagaimanapun, perkahwinan bawah umur akan dilakukan bagi pasangan yang berasal dari Thailand sekiranya wali pihak perempuan mahu ia dilaksanakan.

“Apabila ada persetujuan daripada pihak wali, saya akan melangsungkan perkahwinan itu. Tetapi, ia hanya melibatkan pasangan dari Thailand.

“Kebiasaannya, pasangan bawah umur yang terlanjur dipaksa oleh wali untuk berkahwin. Perkahwinan mereka sah di sisi Islam, namun segala sijil dan dokumen akan dikeluarkan semasa pihak perempuan mencapai usia 18 tahun.

“Selepas berkahwin, mereka sudah boleh tinggal sekali, cuma tiada sijil dan dokumen sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI