LONDON – Liverpool percaya mereka mampu untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Real Madrid, Aurelian Tchouameni biarpun kelab Sepanyol itu tidak bersedia melepaskan pemain berkenaan.
Biarpun melalui musim yang cemerlang setakat ini dengan bahagian tengah dikemudi Alexis MacAllister dan Ryan Gravenberch, pengendali Liverpool, Arne Slot berminat untuk menambah kekuatan mereka dengan membawa masuk Tchouameni.
Liverpool sebelum ini berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu sejak 2022, namun bekas pemain AS Monaco itu memilih untuk menyertai Real Madrid dan menolak tawaran daripada The Reds dan Paris Saint-Germain ketika itu.
Liverpool dikatakan hanya akan mengemukakan bidaan tersebut pada jendela perpindahan musim panas nanti, namun laluan mereka tidak mudah apabila perlu berdepan cabaran musuh mereka di Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
City dilapor turut memantau secara dekat perkembangan pemain antarabangsa Perancis berkenaan apabila mereka terdesak untuk mendapatkan pemain bagi menggantikan Rodri yang mengalami kecederaan jangka panjang.
Jurulatih Real, Carlo Ancelotti tidak akan melepaskan pemainnya pada jendela perpindahan kali ini apabila mereka turut berdepan krisis kecederaan sehingga memaksanya menggunakan Tchouameni sebagai pemain bek tengah.
Sepanjang 23 penampilan musim ini, Tchouameni turun sebagai pemain pertahanan tengah sebanyak 15 perlawanan berbanding posisi asalnya sebagai pemain tengah ekoran kecederaan yang melanda Eder Militao dan David Alaba. – AGENSI