KUALA LUMPUR – Biarpun kes perceraiannya masih berjalan, pelakon Diana Danielle terbuka untuk bekerjasama dengan suaminya, Farid Kamil dalam mana-mana projek seni pada masa depan.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, siapa sahaja yang berlakon dengan Farid sangat bertuah kerana sebagai pelakon, dia seorang yang profesional dan berkaliber.
“Hal peribadi adalah peribadi. Saya rasa dia sangat berbakat dan telah pun membina nama dalam industri seni dalam tempoh yang lama.
“Jujur, bukan kata industri seni tetapi dunia kita sangat kecil, pusing-pusing akan berjumpa juga. Hati saya terbuka kalau ada rezeki kami untuk bekerjasama dalam projek baharu pada masa depan selepas kes (perceraian) selesai,” ujar Diana.
Bahkan, Diana juga bersedia untuk berjumpa dan menjayakan promosi filem Baran lakonannya bersama Farid yang dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun ini.
Sementara itu, ketika disoal tentang rumah milik Farid di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor yang hampir dilelong gara-gara penyewa tidak membayar tunggakan sewaan kepada bank, Diana mengakui hanya mengetahui berita tersebut melalui media.
“Saya tidak tahu tentang kes rumah hampir dilelong. Orang beranggapan kami tinggal di situ tetapi itu bukan rumah saya. Kami tinggal di sana pada awal perkahwinan dulu, jadi saya memang tidak tahu sebarang perkembangan tentang rumah itu. Setahu saya rumah itu tidak pernah menjadi masalah.
“Bagi saya kes rumah itu hanya salah faham dan telah selesai dengan baik. Apapun saya doakan yang terbaik sebab apabila dia Farid stabil anak-anak pun akan stabil,” jelas Diana yang ditemui pada majlis sangeet (majlis sebelum perkahwinan) pelakon Sanjna Suri malam tadi.
Kes perceraian Diana dan Farid, 44, masih berjalan kerana keengganan aktor itu menceraikan isterinya. Justeru, mereka diperintahkan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Mahkamah menetapkan 24 Mac 2025 untuk sebutan semula dan laporan JKP kedua-dua belah pihak. – KOSMO! ONLINE