fbpx

Cuaca sejuk tak halang Soon Huat-Shevon cipta kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bersedia hadapi Terbuka India 2025.

KUALA LUMPUR – Cuaca sejuk yang melanda New Delhi, India ternyata tidak menghalang beregu campuran negara,
Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mencipta kemenangan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India, hari ini.

Turun selaku pilihan keempat kejohanan, Soon Huat-Shevon menampilkan aksi cemerlang apabila hanya memerlukan 35 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati dengan keputusan straight set 21-17, 21-17.

Pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 750 tersebut, pemain negara terpaksa berdepan cuaca yang sejuk mencecah paras terendah sembilan hingga 12 darjah Celsius di Stadium Tertutup KD Jadhav Indoor tersebut dan sedikit menjejaskan persembahan mereka.

“Kami masih cuba menyesuaikan diri dengan suhu di sini, walaupun kami sudah tahu cuaca di sini hampir sama setiap tahun. Keadaan cuaca sedikit berbeza berbanding Eropah. Sejuknya agak berlainan. Saya tak tahu bagaimana untuk menerangkannya dengan tepat, tetapi ya, ia memang sejuk.

“Apapun, kami sedang cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran dan angin di sini. Jadi, kami memerlukan lebih banyak masa untuk memanaskan badan. Di Malaysia, ia lebih mudah, tetapi di sini cabarannya lebih besar,” kata Shevon kepada BWF.

Sementara itu, Soon Huat mengakui bahawa perlawanan ini agak mencabar, terutamanya dengan cuaca sejuk yang turut mempengaruhi kawalan pukulan di dalam gelanggang.

“Mereka adalah pasangan baharu dan ini adalah kejohanan pertama mereka, jadi mereka masih menyesuaikan diri. Kami mempunyai lebih banyak pengalaman dan menggunakan kelebihan itu hari ini,” kata Soon Huat.

Dengan kemenangan tersebut, Soon Huat-Shevon mara ke pusingan kedua dan akan berdepan beregu dari Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi esok selepas mereka menewaskan pasangan Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien menerusi keputusan 21-17, 21-15. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN