REMBAU – Majikan kepada pemandu lori yang maut dalam nahas mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 226.5, Lebuhraya Utara-Selatan di sini pagi tadi, memaklumkan arwah seorang pekerja yang hebat walaupun usia 73 tahun.
Kamis Manap, 77, berkata, arwah Mohd. Esa Daharin, 73, sudah lebih 25 tahun bekerja dengannya kerana tidak betah duduk di rumah sahaja.
“Sama macam saya, kalau duduk rumah, macam-macam penyakit datang. Jadi, arwah bekerja dengan saya dan memang kerap berulang alik membawa lori dari ladang kami seluas 20 ekar di Kulai, Johor ke ladang 40 ekar di Semenyih, Selangor.
“Ketika kejadian juga arwah bersama dua lagi pekerja warga Bangladesh dalam perjalanan selepas habis kerja di Kulai, ke Sungai Ramal, Selangor.
“Arwah memang pekerja baik, memang tidak mahu hanya berehat di rumah. Anak-anaknya pun larang bapa mereka kerja, namun arwah tetap mahu bekerja,” katanya di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Seorang lagi waris keluarga Terence Ng Zhi Yang, 21, yang maut berkata, ketika kejadian, mendiang anak buahnya itu dalam perjalanan untuk bercuti dari Melaka ke Pulau Pinang.
Katanya, mendiang bersama rakan-rakanya kini sedang cuti semester kolej dan akan menyambung kembali pelajaran selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
“Dia anak sulung yang sangat baik. Bayangkan waktu bercuti semester begini, mendiang boleh bekerja sementara di sebuah tadika milik keluarga untuk mengajar kanak-kanak,” katanya. – KOSMO! ONLINE