PETALING JAYA – Malaysia memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menunaikan haji pada masa akan datang,
Permohonan tersebut dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah.
Delegasi Malaysia itu juga turut diwakili oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah
Syed Othman.
Mohd Na’im berkata, menerusi pertemuan sempena Simposium dan Pameran Haji 1446H bertempat di Superdome, Jeddah itu, pihak Arab Saudi akan mempertimbangkan permintaan Malaysia itu sewajarnya.
Pada pertemuan itu juga katanya, Malaysia turut telah menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.
Beliau berkata, memorandum itu menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.
“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini kita telah dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin di antara negara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambahbaik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, memorandum itu juga melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M.
Selain itu katanya, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.
“Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE