PETALING JAYA – Agrobank telah melancarkan Kempen Huat Year Ong Ong Lai Mega Million 2.0 bermula semalam hingga 15 Februari 2025 dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM2.5 juta.
Kempen yang dilancarkan dalam musim perayaan Tahun Baru Cina itu menawarkan lapan kali mata penyertaan melalui Kempen Mega Million 2.0.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Kempen Huat Year Ong Ong Lai Mega Million 2.0 yang dilancarkan itu akan dapat memupuk budaya menyimpan dalam kalangan masyarakat.
“Amalan menabung ini selaras dengan perkataan Huat yang membawa maksud kemakmuran dan kekayaan, yang dizahirkan melalui kempen dan produk kami untuk menjamin kestabilan kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hadiah untuk cabutan utama adalah Ford Ranger Raptor dan hadiah menarik lain melalui cabutan bulanan dan cabutan pusingan wilayah pula adalah Mitsubishi Xpander, Proton S70, Perodua Myvi, kepingan emas dan wang tunai.
“Kempen ini terbuka kepada kategori Individu yang melanggan produk AgroPrimaS.
“Lebih menguntungkan, pelanggan akan memperoleh mata penyertaan tambahan dengan gabungan produk Pembiayaan atau Ar-Rahnu dan Penulisan Wasiat & Takaful.
“Pelanggan yang membuat deposit sebanyak RM100,000 dalam satu sijil AgroPrimaS pula akan menerima hadiah eksklusif edisi terhad Agrobank,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE