PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sentiasa mencemar duli melawat dan mengurniakan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Johor.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi paduka anakanda melawat mangsa bencana bukanlah suatu yang asing lagi bagi rakyat Johor.
Menurut kenyataan itu, keberangkatan Keluarga DiRaja Johor ke tempat bencana tanpa protokol ketat sememangnya menjadi kebiasaan sekiranya berlakunya banjir walaupun di kawasan pedalaman.
“Sultan Ibrahim akan berangkat melawat walaupun terpaksa mengharungi banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot mahupun helikopter milik peribadi .
“Seri Paduka Baginda bersama keluarga akan meluangkan masa menyantuni rakyat serta memastikan semua kelengkapan bantuan disediakan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab,”katanya.
Tambah kenyataan itu, sumbangan yang dikurniakan bukan sahaja tertumpu kepada mangsa banjir malah turut disalurkan kepada pihak yang menguruskan bencana. – KOSMO! ONLINE