KAJANG – Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular beberapa hari lalu yang memaparkan seorang pemuda dipukul beberapa individu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima rakaman video yang tular pada pukul 10.30 pagi tadi.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di Semenyih pada pukul 5.45 petang, 29 Disember lalu.
“Polis menahan empat suspek berusia 32 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua suspek ditahan secara berasingan pada 8 dan 12 Januari lalu manakala dua lagi individu ditangkap hari ini dan akan direman esok.
“Semakan mendapati tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod dadah dan jenayah. Polis masih menjalankan siasatan berhubung punca dan motif kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236. – KOSMO! ONLINE.