PETALING JAYA – Berkongsi kejayaan terpilih dalam menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sudah pasti menjadi momen yang membanggakan ibu bapa.
Menerusi semakan Kosmo! di media sosial, ramai memuat naik reaksi seisi keluarga ketika sama-sama menyemak keputusan tawaran ke MRSM semalam.
Seorang pengguna TikTok, Jai meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya berjaya berada dalam senarai 1,680 pelajar yang terpilih memasuki tingkatan empat di MRSM.
“Tahniah along dapat masuk ke MRSM Taiping. Aku bersujud syukur pada Mu Ya Allah,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu, Dina Syukrah turut berkongsi detik-detik mendebarkan ketika sedang menyemak keputusan kemasukan ke MRSM anaknya bongsunya.
Menurut Dina Syukrah, selepas membaca pengumuman yang dibuat Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengenai seramai 8,909 pelajar ditawarkan tempat di MRSM bagi melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu dan empat bagi sesi 2025, dia dan anak lelakinya itu segera membuat semakan.
“Yang bongsu pun dah masuk sekolah menengah. Punya lah berdebar nak semak keputusan MRSM.
“Masa Dr. Asyraf cakap sekitar 7,000 sahaja terpilih ke tingkatan satu daripada 93,000 calon (termasuk calon ke tingkatan empat), Mommy dah reda. Alhamdulillah ada rezeki, tahniah adik. Semoga terus cemerlang adik,” kongsinya.
Seorang guru yang menggunakan akaun @Arefe_Cook juga mengucapkan tahniah kepada salah seorang pelajarnya yang berjaya ditawarkan ke MRSM.
“Tahniah Faqif! Semoga terus cemerlang walau di mana berada. Saya sangat bangga dengan anda. Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, KL mendunia!,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@jai…ii Tahniah along dapat masuk ke mrsm taiping bitara.aku bersujud syukur pada mu ya allah.#mrsmtaiping #fyp #syukur @nurfasihahyong ♬ original sound – jai…