PETALING JAYA – Seorang pekerja rangkaian kedai serbaneka menolak permintaan dua kanak-kanak berusia 12 tahun yang mahu bekerja di premisnya untuk mencari duit sendiri.
Menerusi perkongsian oleh @msnbr__ di Threads, dua kanak-kanak perempuan itu datang membeli mi segera di kedai serbanekanya lengkap memakai uniform sekolah.
“Selepas layan ambil pesanan mereka, aku tanya mereka darjah berapa. Mereka jawab darjah enam, umur 12 tahun,” tulisnya.
Tambahnya, salah seorang daripada mereka tiba-tiba bertanya sama ada boleh bekerja di kedai tersebut selepas cuti sekolah.
“Aku terkejut dan rasa lucu, tapi dalam masa sama kagum. Aku beritahu mereka, kerja di sini hanya untuk yang berusia 18 tahun ke atas. Dengar aku cakap tak boleh, salah seorang mengeluh dan aku pun ketawa,” katanya.
Hantaran itu telah menarik perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata turut sama berkongsi pengalaman serupa.
“Macam anak saya, umur baru 12 tahun tapi tak sabar nak kumpul duit. Bila tanya nak duit buat apa, dia kata saja nak simpan untuk masa depan. Ewah, mama pun tak nampak lagi masa depan mama. Awak dah fikir masa depan awak,” komen Sazliana.
“Anak akak umur 10 tahun, minta kerja dengan mama sebab nak ‘gaji’. Jadi akak beri kerja mudah, tolong jangan menangis masa nak pergi sekolah. Mama bagi duit belanja lebih,” ujar Siti Zuraidah Halim. – KOSMO! ONLINE