SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengkaji semula prosedur penganjuran sesebuah program bagi mengelakkan kekeliruan seperti berlaku dalam program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20, pada Sabtu lalu.
Ini selepas dakwaan tular dalam talian mengenai program itu yang dikatakan memaksa pelajar bukan Islam menghadiri acara-acara keagamaan Islam.
UiTM dalam kenyataan memaklumkan, program itu melibatkan 2,447 pelajar semester pertama termasuk 34 pelajar bukan muslim daripada kursus Kokurikulum Kesatria Negara 1, Kembara 1, dan Pancaragam 1 yang berlangsung di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam.
Katanya, pelajar Muslim mengikuti ceramah Pengurusan Jenazah (Muslim) di ruang utama masjid, manakala pelajar bukan Muslim menghadiri Ceramah Etika Sosial dalam memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk di rumah, tempat kerja, dan ruang awam.
Program ceramah tersebut berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar bermula pukul 2.30 petang sebelum pelajar dibenarkan pulang selepas menikmati minuman petang.
“Tujuan utama program ini adalah membentuk individu dengan kesedaran sosial tinggi dan nilai sahsiah unggul.
“Penggunaan lokasi berhampiran seperti masjid dan Dewan Muktamar mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik, serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan.
“UiTM memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, UiTM memaklumkan pihak Pusat Kokurikulum akan mengkaji semula prosedur penganjuran program bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan.
Ujarnya, penambahbaikan ini termasuk ketelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi untuk mengelakkan salah faham.
“Program Kem Jati Diri dan Kerohanian dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta.
“UiTM kekal komited memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme, serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE