GUA MUSANG – Sebuah trak pikap hilang kawalan akibat jalan licin sebelum masuk ke laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan sehingga mengorbankan seorang lelaki dalam nahas sehingga kereta dipandunya terbakar di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Bandar Utama di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, pemandu kereta jenis Proton Saga, Mohd. Basyir Che Ali, 36, rentung manakala isterinya, Murni Md. Nor yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh di sini cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke arah Kuala Krai.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta dipandu mangsa.
“Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Saga dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan merempuh penghadang batu jalan di sebelah kiri jalan menghala ke arah Gua Musang sebelum terbakar.
“Isteri mangsa yang berada di tempat duduk penumpang depan sempat dibawa keluar dan diselamatkan, namun pemandunya tersepit di dalam kereta tersebut,” katanya.
Choon Foo memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat
Katanya, mangsa lain yang terlibat dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapat rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE