PETALING JAYA – “Tolong saya. Saya terjebak dengan along. Salah saya, macam mana nak selesaikan ya? Sekarang jumlah RM20,000.”
Itu pengakuan seorang individu yang runsing dan mendedahkan terjebak dengan hutang along sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
Menerusi perkongsian Pakar kewangan dan hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad, beliau berkata, individu berkenaan pada awalnya hanya membuat pinjaman sebanyak RM1,400.
“Saya banyak kali tulis bagaimana kiraan faedah apabila pinjam along ini.
“Dia (along) tak suka kita bayar hutang dia dan habis cepat. Dia suka kita lambat habis bayar agar faedahnya melambung tinggi,” katanya di Facebook.
Tambahnya, beliau pernah menyaksikan keperitan hidup seorang kenalan akibat terjerat hutang along.
“Kawan kawan, bila kita terjabak along, hanya saudara atau mak ayah yang sanggup tolong.
“Ada yang rumah mak tergadai sebab gila meminjam along ini. Saya jadi saksi hidupnya kini,” dedahnya.
Hantarannya itu turut mengundang reaksi kurang senang orang ramai terhadap individu yang memilih jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada along.
“Berpuluh tahun masalah along di Malaysia. Budak pun tahu keburukannya tapi ada masyarakat kita yang masih tak sedar? Pelik sungguh,” komen Danial Idham.
“Semiskin mana pun , jangan berani pinjam along. Jerat diri sendiri tu,” pesan Muhammad Fitri.
“Bukan terjebak tu tapi menjebakkan diri,” ujar seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE