PETALING JAYA – “Nampak ramai ibu bapa kecewa kerana anak tidak diterima masuk ke MRSM, tolong jangan.”
Itu permintaan seorang individu setelah mendapati ramai ibu bapa yang menzahirkan kekecewaan apabila anak-anak mereka tidak berjaya mendapat tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Dikenali sebagai @shugarzara_ di aplikasi Thread, dia mendedahkan dirinya juga mampu cemerlang dalam pelajaran walaupun hanya menuntut di sekolah harian.
“Sepanjang hidup, saya hanya belajar di sekolah berhampiran rumah. Mengayuh basikal ke sekolah, dan berjaya mendapat semua A dalam UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Alhamdulillah.
“Walaupun sekolah ini (MRSM) terkenal dengan melahirkan ramai bakat hebat, ia bukanlah penghujung dunia. Kejayaan datang kepada mereka yang berusaha dan bekerja keras,” katanya.
Rata-rata orang ramai bersetuju dengan kenyataannya itu, namun ada juga yang berpandangan sebaliknya.
“Suka yang positif. Jangan biarkan keadaan menentukan anda. Anda menentukan diri anda dalam apa jua keadaan,” komen @fatimahrosli.
Saya tidak masuk sekolah berasrama penuh atau MRSM tetapi saya memperoleh keputusan yang baik dalam UPSR, PMR, dan SPM,” kongsi seorang lagi pengguna.
“Kecewa hanyalah sebahagian daripada reaksi biasa. Cuba sesuaikan dengan perasaan orang lain juga, jangan mengutuk. Jika mereka sudah melakukan yang terbaik dan berasa kecewa, biarkan mereka berkongsi rasa itu sekejap, tak salah pun,” ujar @daisy2mill. – KOSMO! ONLINE