NEW YORK – Pegawai-pegawai China meneliti potensi penjualan operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) kepada bilionair Elon Musk ketika platform perkongsian video itu berdepan undang-undang AS yang meminggirkan pelaburan Beijing, lapor saluran berita Bloomberg semalam.
Laporan itu memetik kelompok individu yang arif tentang isu tersebut. Mereka berkata, senario yang dibincangkan di Beijing menyebut bahawa syarikat media sosial Musk, X akan membeli TikTok daripada firma China, ByteDance dan menggabungkannya ke dalam platform X, dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Laporan sama menganggarkan operasi TikTok di AS bernilai antara AS$40 hingga AS$50 bilion.
Walaupun Musk kini tersenarai sebagai orang terkaya di dunia, Bloomberg tidak menyatakan bagaimana beliau akan membuat pembayaran atau sama ada beliau perlu menjual asetnya yang lain.
Tahun lalu, Washington meluluskan undang-undang mewajibkan ByteDance sama ada menjual TikTok kepada entiti tempatan, atau menutup operasinya di Amerika Syarikat.
Washington menuduh TikTok membenarkan Beijing mengutip data dan mengintip pengguna selain menjadi alat untuk menyebarkan propaganda. ByteDance menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Rancangan penjualan TikTok itu bagaimanapun dianggap ‘masih di peringkat awal’ dan memerlukan konsensus Beijing.
Musk merupakan sekutu rapat Trump dan dijangka memainkan peranan berpengaruh di Washington dalam tempoh empat tahun akan datang. – AFP