fbpx

Terbuka India: Tang Jie-Ee Wei mudah ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE (kanan) dan Ee Wei tidak berdepan banyak masalah sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka India. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka India selepas menyingkirkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup KD Jadhav, New Delhi hari ini, pasangan No.3 dunia itu hanya memerlukan masa 32 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-16.

Keputusan itu menyaksikan mereka berjaya mengekalkan rentak konsisten selepas turut melangkah ke separuh akhir ketika beraksi pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu.

“Semuanya baik sahaja di sini kerana kami baru tiba semalam dan terus buat persiapan untuk perlawanan hari ini. Kami baru sahaja habis Terbuka Malaysia dan akan cuba untuk kekalkan keadaan fizikal,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menjelang pusingan kedua nanti, Tang Jie-Ee Wei akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

Sementara itu, beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan gandingan Jerman, Daniel Hess-Marvin Seidel 21-11, 21-8.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila terpaksa pulang lebih awal selepas tewas 18-21, 15-21 kepada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI