fbpx

Tapir sering berkeliaran di kampung mati dilanggar kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR tapir ditemukan mati dilanggar kenderaan di Jalan Kerambit-Kuala Lipis di Lipis.

LIPIS – Seekor tapir seberat 125 kilogram ditemukan mati di tepi jalan dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Jalan Kerambit – Kuala Lipis berdekatan Kampung Jeram Bungor di sini.

Shafei Ibrahim, 63, berkata, dia yang dalam perjalanan menghantar isterinya mendapatkan rawatan di Hospital Lipis terkejut apabila melihat seekor tapir di tepi jalan raya tersebut kira-kira pukul 6.45 pagi.

“Ketika memandu perlahan-lahan dalam keadaan samar kabus waktu pagi, saya terpandang di tepi jalan sebelah kanan terdapat seekor haiwan liar seakan-akan tapir berdasarkan warna kulit badan, iaitu putih dan hitam.

“Saya segera memberhentikan kenderaan dan mendekati haiwan liar berkenaan dan mendapati ia sudah tidak bernyawa lagi kemungkinan dilanggar oleh kenderaan pada sebelah pagi,” katanya di Kampung Tanjung Bungor di sini.

Menurut Shafei, dia terus menghubungi kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Lipis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, dia menunggu sehingga kakitangan Perhilitan tiba di lokasi kejadian yang mengesahkan tapir seberat 125 kilogram baru sahaja mati akibat dilanggar kenderaan.

“Ketika saya menyentuh badannya masih panas dan dipercayai haiwan liar berkenaan baharu sahaja mati di tepi jalan ini,” katanya.

Shafei berkata, tapir betina yang ditemui mati dilanggar kenderaan itu antara haiwan yang berkeliaran di kampungnya, iaitu Kampung Putu sejak awal tahun ini dan kerap ditemui di belakang rumah penduduk mencari makanan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI