PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) akan datang.
Sumali dilihat serius untuk mencabar kerusi No. 1 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk antarabangsa sukan itu yang dijangka berlangsung tahun depan.
Beliau sedia mempertimbangkannya demi kebaikan sukan itu yang kini dipangku Boonchai Lorhpipat dari Thailand sejak kematian presiden terdahulu, Jeneral Charouk Arrirachakaran pada Ogos 2023.
“Perkara ini berada dalam pertimbangan saya untuk melihatnya, kalau ada ruang dan ilham yang bagus, mana yang datang dulu sama ada AGM Istaf atau PSM.
“Saya serius kerana sudah lebih 30 tahun jawatan Presiden Istaf dipegang Thailand sejak penubuhan organisasi ini lagi.
“Asal Presiden Istaf sahaja pasti Thailand, agaknya kalau kita biar mungkin sampai 50 tahun nanti,” kata Sumali dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Kuala Lumpur malam kelmarin.
Sumali berkata, kekosongan jawatan itu sudah terlalu lama dan tidak seharusnya menunggu tempoh pemilhan pada AGM pada tahun hadapan.
Justeru, beliau menggesa agar Istaf menjalankan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mengadakan pemilihan awal jawatan pucuk pimpinan baharu Istaf.
Pada November tahun lalu, Sumali pernah menyatakan bayangan mahu bertanding jawatan itu, malah Setiausaha Agung Istaf iaitu Datuk Abdul Halim Kader juga menyatakan sokongannya.