PETALING JAYA – Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkongsi luahan beberapa ibu bapa yang menyifatkan soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berada pada tahap sukar.
Katanya, ramai ibu memaklumkan situasi tersebut menyebabkan anak-anak mereka tertekan selain ‘mematikan’ minat pelajar terhadap subjek SPM.
“Kertas 2 Add Maths (Matematik Tambahan) semalam betul-betul membunuh jiwa dan minat anak-anak. Satu Malaysia menangis angkara soalan yang membuat anak-anak terduduk. Soalan bukan untuk level anak-anak SPM. Susah sangat-sangat.
“Untuk kertas lain yang agak sukar seperti Pendidikan Agama Islam. Apa sebenarnya yang mahu dinilai oleh KPM (Kementerian Pendidikan),” luah ibu bapa tersebut yang dikongsikan semula oleh Anuar di Facebook.
Dalam luahan ibu bapa itu, mereka turut menyifatkan tiga subjek ‘killer’ lain seperti Fizik, Kimia dan Biologi sudah cukup mencabar buat calon SPM aliran sains.
Bagaimanpun, Anuar berpandangan setiap soalan yang dibina bagi kertas peperiksaan SPM telah mengikut prosedur penggubalan sebenar.
“Sejak beberapa hari yang lalu, saya menerima perkongsian keluhan dan luahan para ibu bapa tentang tahap kesukaran soalan SPM 2024.
“Saya pasti penggubal soalan SPM telah pun menyediakan soalan mengikut prosedur penggubalan item soalan.
“Cuma, bila ada banyak keluhan daripada ibu bapa, tentu perlukan penjelasan. Apakah memang benar soalan SPM 2024 yang sangat sukar atau kemahiran anak-anak yang tidak mencapai tahap minima untuk menjawab dengan baik?,” soalnya.
Kata Anuar, beliau berharap para calon SPM dapat menguasai setiap subjek yang dipelajari di sekolah agar ia mudah ditafsir ketika menjawab SPM.
“Apa yang lebih penting, semoga anak-anak kita sentiasa ditaksir pengetahuan mereka secara adil, sah dan boleh dipercayai dalam SPM,” katanya. – KOSMO! ONLINE