PETALING JAYA – Skuad tenpin boling wanita negara menutup kempen Piala Dunia IBF 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih pingat perak selepas tewas tipis 2-3 kepada Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan akhir di Hong Kong sebentar tadi.
Skuad negara yang diwakili Natasha Roslan, Gillian Lim, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah beraksi cemerlang sepanjang kejohanan.
Selepas kejayaan Natasha meraih emas dalam kategori individu minggu lalu, skuad wanita mengimpikan kemenangan berganda dengan merangkul emas berpasukan.
Bagaimanapun, perlawanan akhir menentang pasukan gergasi AS terbukti mencabar dengan setiap set menyaksikan pertarungan sengit hingga ke detik akhir.
Malaysia membuka perlawanan dengan mengharungi set pertama yang kurang memuaskan apabila membenarkan AS mendahului dengan rentak konsisten,
Meskipun, skuad negara berusaha mengejar, double strike daripada AS pada penghujung permainan memastikan mereka memenangi set pertama dengan 214-195.
Skuad wanita negara mempamerkan permainan cemerlang dalam set keempat dengan Natasha sekali lagi memberikan tekanan kepada AS dan berjaya mengekalkan kelebihan untuk menang 220-210 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set terakhir itu, Malaysia bermula baik dengan double strike pada awal permainan, namun split pada frame ketiga memberi peluang kepada AS untuk merapatkan jurang.
Kesilapan pada frame kelapan dan ke-10 membuka ruang buat AS untuk menutup permainan dengan double strike, memastikan kemenangan 212-180 sekali gus mengesahkan kejuaraan.
Biarpun tewas, skuad tenpin boling negara menamatkan kempen Piala Dunia IBF dengan penuh bergaya selepas membawa pulang 1 emas dan 1 perak dalam kategori individu, serta 1 emas dan 1 perak dalam kategori berpasukan. – KOSMO! ONLINE.