PETALING JAYA – Skuad tenpin boling lelaki negara mencipta sejarah cemerlang apabila merangkul kejuaraan Piala Dunia IBF 2025 selepas menewaskan Puerto Rico 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Queen Elizabeth sebentar tadi.
Pasukan yang diwakili oleh Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd. Fisho, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Haznul Azam dan Timmy Tan itu mempamerkan ketangkasan dan semangat juang luar biasa untuk membawa pulang kejuaraan buat kali pertama dalam sejarah boling Malaysia.
Malaysia memulakan set pertama dengan cemerlang dengan mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan selesa 203-170.
Namun, Puerto Rico bangkit garang di set kedua, mencatat lima strike berturut-turut yang menyukarkan Malaysia mengejar sebelum skuad lawan menamatkan set dengan 257-216, menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Set ketiga menyaksikan ketenangan Malaysia yang bijak memanfaatkan kesilapan Puerto Rico di frame keenam, mendahului dengan 19 pin dan menang dengan penuh meyakinkan.
Di set keempat, Puerto Rico mencipta kebangkitan dengan empat strike berturut-turut pada penghujung permainan, meskipun Malaysia berusaha mengejar, kesilapan di beberapa frame awal memberikan kemenangan 222-185 kepada Puerto Rico yang menyamakan kedudukan 2-2.
Segalanya ditentukan dalam set kelima apabila Malaysia berjaya mengekalkan konsistensi dan memanfaatkan kesilapan washout Puerto Rico di frame ketiga untuk membina kelebihan awal sebelum skuad negara menamatkan set penentuan dengan kemenangan bergaya 227-161.
Kejayaan itu menjadi kejuaraan pertama di Piala Dunia IBF sekali gus menjadi pencapaian yang membanggakan buat negara serta membuktikan Malaysia sebagai kuasa besar dalam arena boling dunia. – KOSMO! ONLINE.