fbpx

Semak dahulu sebelum ikut sebarang ajaran – Tuanku Muhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Muhriz bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini. - IHSAN PENERANGAN

KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini bertitah agar rakyat yang beragama Islam membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikuti sebarang pengajian ilmu agama.

Baginda bertitah, langkah itu dapat mengelak daripada mengikuti ajaran yang salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam.

“Pada September tahun lepas, negara telah dikejutkan dengan pendedahan mengenai penderaan kanak-kanak dan isu buruh paksa yang telah sekian lama berlaku di rumah-rumah kebajikan dan perniagaan kendalian GISB.

“Ekoran daripada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan turut membuat siasatan dan mendapati bahawa ajaran serta kepercayaan yang diamalkan oleh GISB adalah sama seperti al-Arqam yang diwartakan pada 2016 sebagai sesat dan menyeleweng.

“Beta juga menyeru kepada rakyat yang beragama Islam, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikuti sebarang pengajian ilmu agama. Beta amat berharap dan berdoa agar syiar agama Islam terus kekal terpelihara di negeri ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Tuanku Muhriz turut menyeru kepada pihak berkuasa agama negeri agar sentiasa membuat pemantauan dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat.

“Tindakan yang tegas juga harus dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, berdasarkan Enakmen Syariah Negeri,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI