fbpx

K2

Robot bola canggih polis China tangkas kejar penjenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS China mencetuskan sensasi di internet baru-baru ini dengan menampilkan sebuah robot berbentuk bola yang ikut sama melakukan rondaan kawalan keselamatan dengan sekumpulan anggota polis.

HARI ini masyarakat biasanya melihat anggota polis menggunakan kenderaan peronda atau berjalan di sekitar bandar dengan berpakaian seragam ketika bertugas melakukan rondaan.

Tugas penguatkuasaan undang-undang juga amat sinonim dengan tenaga manusia yang pakaian seragam menjadi identiti mereka.

Namun begitu, dengan kemajuan teknologi, masa depan yang digambarkan bahawa suatu hari tugas penguatkuasaan bakal dibantu robot bakal menjadi realiti.

China baru-baru ini dilaporkan sedang mengusahakan inovasi termaju dalam penguatkuasaan undang-undang.

Menerusi satu muat naik di media sosial, sensasi terbaharu dicetuskan negara itu apabila mendedahkan satu rekaan robot amfibia berbentuk sfera seberat 125kg yang mampu mengejar penjenayah pada kelajuan sehingga 35 kilometer sejam (35km/j) di darat dan air.

Digelar Rotunbot RT-G, peranti futuristik ini adalah cetusan idea daripada firma teknologi, Logon Technology yang berpangkalan di Shenzhen dan telah dibangunkan selama beberapa tahun.

Menurut jurucakap Logon Technology, inovasi membanteras jenayah, RT-G merupakan robot polis sfera berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja menghentikan jenayah tetapi juga merisik atau mengesannya.

Kongsinya, robot bola pengimbangan diri tersebut menggunakan penstabil giroskopik untuk mengekalkan pergerakan yang stabil merentasi pelbagai rupa bumi, termasuk lumpur, lopak dan keadaan jalan tak berturap (off road).

“Ia juga boleh menavigasi di atas air dengan mudah, menjadikannya unik dan serba boleh. RT-G dilengkapi set penderia lanjutan, termasuk GPS untuk navigasi, berbilang kamera dan pengesan ultrasonic bagi mengelak halangan dan menjejaki sasaran.

“Reka bentuknya yang kalis air, berbentuk sfera dan boleh terapung membolehkannya bergolek mengharungi sungai serta melintasi pelbagai bentuk muka bumi dengan lancar,” katanya menerusi satu perkongsian dengan media antarabangsa.

Robot berbentuk sfera seberat 125kg mampu mengejar penjenayah pada kelajuan sehingga 35 kilometer sejam (35km/j) di darat dan air.

Tambahnya, robot tersebut kini diuji di zon komersial di Wenzhou, wilayah Zhejiang, China dan juga baru-baru ini bersama empat pegawai polis di Hangzhou, sebuah bandar yang sibuk dengan populasi hampir 12 juta penduduk.

Robot RT-G juga dilengkapi dengan pelbagai alat memerangi jenayah yang tidak membawa maut. Ia termasuk penyembur gas pemedih mata, beberapa bom tangan, pembesar suara dan peranti penyebaran gelombang bunyi sekali gus memastikan kebolehsuaian dalam pelbagai senario.

Robot sfera yang dikuasakan oleh AI itu juga boleh mengesan ‘gangguan atau kelainan di sekelilingnya’.

Ia juga akan menggunakan fungsi pengecaman muka untuk mengesan penjenayah yang diketahui polis dan dengan itu membantu pegawai penguat kuasa undang-undang mengenal pasti mereka dengan lebih cepat.

Selanjutnya, ia boleh memberi amaran kepada penguatkuasaan undang-undang atau melumpuhkan suspek secara autonomi menggunakan pistol jaring binaan dalam.

Satu video operasinya menunjukkan RT-G dikawal dari jarak jauh, walaupun versi akan datang mungkin menggabungkan ciri autonomi untuk meningkatkan fungsinya.

“Pecutan robot RT-G boleh mencapai 30 kmj dalam hanya 2.5 saat dan binaannya yang teguh menjadikan ia tahan lasak walaupun jatuh di permukaan kasar.

“Bagaimanapun, ia mempunyai batasan seperti tidak stabil apabila melalui selekoh tajam dan sukar untuk menaiki tangga atau permukaan tinggi yang lain,” ujarnya.

Robot bersifat amfibia ini juga boleh melakukan tugasan di air.

Katanya, kelemahan tersebut mungkin menghalang keberkesanannya dalam menangani situasi tertentu atau persekitaran bandar yang kompleks.

Jelasnya, walaupun menghadapi cabaran, RT-G mewakili kemajuan ketara dalam teknologi kepolisan dengan menawarkan alat yang menjanjikan pembanterasan jenayah yang tidak membawa maut selain mengesyaki kemungkinan berlakunya salah laku jenayah.

Menerusi kemajuan teknologi, inovasi penguat kuasa seperti RT-G boleh menjadi asas dalam kepolisan moden, menggabungkan inovasi dengan praktikal dalam pencegahan jenayah.

Pada masa ini, julat kos pengeluaran untuk robocops berkuasa AI ini berbeza-beza dari AS$41,300 hingga AS$55,000 (RM185,000 hingga RM247,000).

Robot RT-G bukanlah percubaan pertama China dalam teknologi robotik memerangi jenayah. Negara itu telah melancarkan pelbagai peranti inovatif untuk membantu penguatkuasaan undang-undang.

Sebelum RT-G, terdapat Robo-dog, robot berkaki empat yang dilengkapi roda yang membolehkannya memecut merentasi medan lasak dan melakukan aksi.

Menurut firma teknologi China yang mengkhususkan diri dalam robot humanoid, Deep Robotics, mereka menyifatkan Robo-dog itu boleh mengharungi apa sahaja situasi walaupun dalam ‘cuaca melampau’.

Rodanya membolehkan ia berlumba menuruni cerun curam dan melompat ke atas halangan dengan mudah.

Selain itu, roda tersebut boleh dikunci, membolehkan robot itu berjalan seperti haiwan biasa, menaiki tangga dan melakukan pergerakan akrobatik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN