fbpx

Rayuan CEO GISBH, isteri cabar penahanan ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI (kanan) mengadakan sidang akhbar setelah selesai keputusan permohonan Habeas Corpus CEO GISBH dan isteri Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn. Bhd., Nasiruddin Mohd. Ali, dan isterinya, Azura Md. Yusof yang difailkan pada 30 Oktober tahun lalu.

Permohonan tersebut dibuat bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012), sebelum ini selepas dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata, pemohon-pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dan sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik.

“Mahkamah ini membenarkan bantahan awalan dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan mewakili responden.

“Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus di failkan pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar,” katanya semasa prosiding berkenaan.

Sementara itu, di pekarangan mahkamah, peguam responden, Datuk Rosli Kamaruddin memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, minggu depan.

Pada prosiding hari ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Zain Ibrahim dan Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.

Selain Rosli, pemohon turut diwakili barisan peguam, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI