SHAH ALAM – “Mengambil rasuah adalah keji dan salah di sisi Islam.”
Demikian teguran keras diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Mohd. Nasir Nordin sebelum menjatuhi hukuman denda sebanyak RM15, 000 ke atas pembantu operasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Tertuduh, Zul Fikri Abd. Rahman, 43, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Ini merupakan kes kedua melibatkan kakitangan MBSA atas kesalahan sama dengan seorang pembantu tadbir turut didenda dengan jumlah sama semalam.
Mengikut kertas pertuduhan, Zul Fikri didakwa menerima wang RM2,250 melalui akaun banknya daripada lelaki berusia 31 tahun di sebuah bank di sini pada 14 Februari 2018 hingga 15 Februari 2019.
Pada prosiding itu, Zul Fiktri yang tidak diwakili peguam merayu agar tidak dipenjarakan, sebaliknya dikenakan denda yang rendah kerana menanggung isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.
“Salah seorang anak sedang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Saya sedang mencari pekerjaan baharu bagi menyara keluarga. Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama dan harap Yang Arif Hakim dapat mempertimbangkan rayuan saya,” katanya.
Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Alimi Mustapha bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat selain Zul Fikri merupakan penjawat awam. – KOSMO! ONLINE