PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjadi perhatian umum apabila mendahului senarai 555 penerima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Pada istiadat yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti hari ini, Rafizi telah dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, lima individu pula dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited, Datuk Chua Ming Huat dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan bagi sesi pertama manakala sesi kedua pada 20 Januari dan sesi ketiga pada 25 Januari.
Sementara itu, semakan Kosmo! di media sosial, ramai yang berkongsi ucapan tahniah kepada Rafizi di atas penerimaan anugerah tersebut.
“Tahniah Datuk Seri Rafizi Ramli,” kata pempengaruh media sosial, Muhamad Harris Nasril.
“Rafizi Ramli kini bergelar Datuk Seri. Seringgi-tinggi tahniah buay Rafizi Ramli,” kata Gomez Arshavin. – KOSMO! ONLINE